Sunday, February 22, 2009

Jenis dan Ciri Sistem Pertanian di Malaysia

Terdapat 4 jenis sistem pertanian di Malaysia, iaitu;

i. Sistem pertanian pindah
ii. Sistem pertanian sara diri
iii. Sistem pertanian kebun kecil
iv. Sistem perladangan ekstensif

i. Sistem Pertanian Pindah
Sistem pertanian pindah ialah sistem pertanian tradisional yang ringkas dan berkonsepkan pindah tapak. Tapak pertanian sering dipindahkan mengikut tahap kesuburan tanah. Ia biasanya diamalkan oleh masyarakat pribumi di Malaysia.

Ciri-ciri Sistem Pertanian Pindah

a) Jenis tanaman - tanaman jangka pendek seperti keledek, jagung, ubi kayu, padi huma dan binatang ternakan.

b) Taburan dan lokasi - tertumpu di kawasan pedalaman Pahang, Perak , Kelantan, Sabah dan Sarawak.

c) Skala operasi - melibatkan kawasan yang kecil, iaitu antara 1/2 hingga 1 hektar.

d) Orientasi pengeluaran - hasil keluaran adalah untuk kegunaan diri sendiri dan ahli keluarga sahaja.

e) Pemilikan dan pengurusan - tiada hak milik individu ke atas kawasan pertanian. Kawasan pertanian dibuka mengikut arahan ketua puak dan diusahakan secara bergotong-royong. Semua anggota keluarga terlibat dan mempunyai tugas mengikut kemampuan masing-masing.

f) Kaedah pengeluaran dan penggunaan teknologi - penggunaan kaedah dan peralatan tradisional seperti kapak, cangkul dan tenaga haiwan. Sistem pertanian ini juga bergantung sepenuhnya kepada persekitaran fizikal seperti air hujan dan baja organik hasil pembakaran sisa tumbuhan yang ditebang.

ii. Sistem Pertanian Sara Diri Intensif

Sistem pertanian ini dijalankan secara giat dengan mengkhusus kepada satu jenis tanaman utama sahaja, iaitu padi sawah di samping beberapa jenis tanaman luar musim seperti keledek, jagung dan sayur-sayuran. Hasil tanaman hanya untuk keperluan keluarga sahaja dan akan dijual sekiranya ada lebihan.

Ciri-ciri Sistem Pertanian Sara Diri Intensif

a) Jenis tanaman – terdapat dua sistem penanaman, iaitu monokultur (tanaman sejenis) dan multikultur (tanaman pelbagai jenis)

b) Taburan dan lokasi – tertumpu di lembah sungai yang subur dan mempunyai bekalan air yang mencukupi seperti Dataran Kedah, Delta Kelantan dan Dataran Kerian.

c) Skala operasi – keluasan tanah pertanian antara 1 hingga 1.5 hektar sahaja dan diusahakan secara individu.

d) Orientasi pengeluaran – hasil tanaman hanya untuk keperluan keluarga sahaja dan akan dijual sekiranya ada lebihan. Namun, di Malaysia semua hasil pertanian dijual untuk mendapatkan subsidi harga padi.

e) Ciri buruh dan modal – sistem pertanian ini masih berintensifkan buruh walaupun sudah ada penggunaan jentera. Petani masih dibelenggu kemiskinan menyebabkan penggunaan modal juga kecil. Bantuan kerajaan diperlukan melalui pemberian baja, racun serangga dan khidmat nasihat.

f) Kaedah pengeluaran dan penggunaan teknologi – menggunakan kaedah tradisional dan moden seperti penggunaan jentera, baja kimia dan racun serangga. Kemudahan asas seperti sistem pengairan juga disediakan.

iii. Sistem Pertanian Kebun Kecil

Sistem pertanian ini melibatkan penanaman tanaman bukan bijirin dan bersifat separuh komersial, iaitu campuran antara tanaman untuk jualan dan untuk kegunaan sendiri.

Ciri-ciri Sistem Pertanian Kebun Kecil

a) Jenis tanaman – tanaman jualan seperti getah dan kelapa sawit serta buah-buahan.

b) Taburan dan lokasi – meliputi kawasan kaki bukit dan kampung tradisional.

c) Skala operasi – keluasan kebun kurang daripada 40 hektar (100 ekar) dan berubah-ubah mengikut jenis perkebunan yang diusahakan.

d) Orientasi pengeluaran – matlamat pengeluaran adalah untuk jualan dan kegunaan sendiri.

e) Pemilikan dan pengurusan – tanah pertanian dimiliki secara individu dan diusahakan oleh ahli keluarga. Pengurusan kebun bergantung kepada jenis kebun, iaitu kebun yang diuruskan secara individu diuruskan secara tradisional manakala kebun jenis berkelompok diuruskan secara mini estet.

f) Kaedah pengeluaran dan penggunaan teknologi – penggunaan teknologi dalam sistem torehan, penggunaan baja kimia dan racun serangga di kawasan yang diuruskan secara mini estet. Kawasan kebun kecil individu masih menggunakan kaedah tradisional kerana kekangan modal.

iv. Sistem Perladangan Ekstensif

Sistem ini berkonsepkan komersial sepenuhnya. Hasil tanaman adalah untuk jualan dan mementingkan keuntungan.

Ciri-ciri Sistem Perladangan Ekstensif

a) Jenis tanaman – getah, kelapa sawit atau nanas.

b) Taburan dan lokasi – tertumpu di kawasan hutan yang diteroka dan kawasan pembangunan wilayah seperti KESEDAR, KETENGAH dan DARA.

c) Skala operasi – melibatkan keluasan melebihi 40 hektar.

d) Orientasi pengeluaran – hasil pertanian untuk jualan sepenuhnya sama ada di dalam atau luar negara.

e) Modal, pemilikan dan pengurusan – menggunakan modal yang besar kerana melibatkan kos pengurusan yang tinggi. Biasanya ia melibatkan pelaburan syarikat swasta seperti GUTHRIE, SIME DARBY dan DUNLOP serta agensi kerajaan seperti FELDA, FELCRA dan Tabung Haji.

f) Kaedah pengeluaran, penggunaan teknologi dan buruh – penggunaan teknologi moden dalam semua peringkat bagi meningkatkan pengeluaran dan memantapkan pengurusan. Namun, pergantungan kepada tenaga buruh masih tinggi sehingga terpaksa menggunakan tenaga kerja kontrak terutama bagi peringkat bawahan.

Thursday, February 19, 2009

Sektor Ekonomi Utama

Sektor ekonomi utama di sesebuah negara boleh dibahagikan kepada tiga sektor, iaitu;
i) Sektor Primer
ii) Sektor Sekunder
iii) Sektor Tertier

Pembahagian ini dibuat berdasarkan kepada jauh atau dekat hubungan aktiviti yang dijalankan dengan sumber alam. Bagi aktiviti yang berkait secara langsung dengan sumber alam, iaitu yang melibatkan penggunaan atau pengeksploitasian sumber, ia termasuk ke dalam sektor primer. Contohnya, aktiviti pertanian, perikanan, pembalakan dan perlombongan. Bagi sektor yang menggunakan produk atau hasil keluaran daripada sektor primer untuk menjalankan aktivitinya, ia termasuk dalam sektor sekunder. Contoh sektor sekunder ialah aktiviti perindustrian. Sektor tertier pula merupakan sektor sokongan kepada sektor primer dan sektor sekunder. Sektor ini tidak menghasilkan produk yang berbentuk barangan tetapi dalam bentuk perkhidmatan. Contohnya, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, utiliti, dan kewangan.

i) Sektor Primer
Sektor primer melibatkan aktiviti yang menggunakan sumber alam sebagai asas aktivitinya. Umpamanya aktiviti pertanian menggunakan sumber tanah yang subur, aktiviti perikanan menangkap sumber hidupan akuatik di laut ataupun sungai, aktiviti pembalakan mengeksploitasi sumber hutan dan aktiviti perlombongan yang mengeluarkan sumber mineral dari perut bumi.

ii) Sektor Sekunder
Sektor sekunder tidak terlibat secara langsung dengan sumber alam tetapi menggunakan bahan-bahan dari sektor primer sebagai bahan mentah. Sektor ini terdiri daripada sektor perindustrian dan penjanaan tenaga elektrik. Hasil produk sektor ini boleh terdiri daripada barangan siap dan barangan separuh siap.
Sektor perindustrian boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu industri yang berasaskan sumber dan yang tidak berasaskan sumber. Industri yang berasaskan sumber ialah industri yang memproses hasil keluaran sektor primer untuk dijadikan barangan siap dan separuh siap seperti industri pemprosesan makanan, memproses petroleum, dan pembinaan. Industri yang bukan berasaskan sumber pula ialah industri yang menggunakan barangan separuh siap dari industri berasaskan sumber sebagai bahan mentahnya. Industri ini terdiri daripada industri otomotif, tekstil dan pakaian, kelengkapan pengangkutan dan aktiviti-aktiviti perkilangan yang lain.

iii) Sektor Tertier
Sektor tertier tidak menghasilkan barangan tetapi menyediakan perkhidmatan kepada pengguna. Sektor ini semakin berkembang maju kerana ia menyediakan perkhidmatan sokongan kepada sektor primer dan sekunder. Kemajuan sektor primer dan sekunder juga bergantung kepada sektor tertier. Umpamanya, sektor pertanian memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa hasil ke kilang dan kilang memerlukan perkhidmatan kewangan, insurans dan pemasaran untuk menjalankan aktivitinya.

Tajuk Perbincangan

Tajuk Perbincangan dan Pembentangan Berkumpulan

Topik: Sektor Ekonomi Utama: Pertanian

1. Jelaskan jenis dan ciri-ciri sistem pertanian di Malaysia.

2. Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan pertanian di Malaysia.

3. Huraikan kepentingan sektor pertanian terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara Malaysia.

4. Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor pertanian di Malaysia.

5. Bincangkan langkah-langkah yang diambil untuk memajukan sektor pertanian di Malaysia.

6. Huraikan kesan negatif aktiviti pertanian terhadap alam sekitar.

7. Bincangkan langkah-langkah untuk mengurangkan kesan negatif aktiviti pertanian terhadap alam sekitar.

Sunday, February 15, 2009

Laman Pembelajaran Maya

Blog ini dibina untuk dijadikan salah satu medium pembelajaran kepada pelajar yang mengambil subjek Geografi Manusia STPM. Memandangkan kekurangan buku rujukan di pasaran, saya mengambil inisiatif untuk membuka blog ini untuk membolehkan para pelajar mendapatkan rujukan dan berkongsi pengetahuan antara satu sama lain.